Followers

Monday 4 June 2012

CERPEN: Seindah Pelangi Sarrah


Kesibukan lebah yang bekerja terus mencuri perhatianku. Tidak pernah penat mereka ini bekerja untuk mendapatkan hasil yang baik. Walaupun zahirnya ramai yang tidak sukakan lebah kerana bisanya, tetapi mereka tidak boleh menolak hakikat bahawa madu lebah mampu memberi banyak faedah dalam kehidupan seharian. Aku masih teringat. Ummi sangat suka minum teh bersama madu lebah. Ahh. Betapa rindunya aku pada ummi dan abi. Walaupun aku sering menghubungi mereka melalui khidmat telefon bimbit, tetapi rasa rindu ini takkan pernah hilang selagi aku tak meyentuh kulit tua mereka. Mataku terus meliar mengikut rentak lebah di taman bunga ini. Sambil mulutku tak henti-henti berzikir memuji Allah SWT kerana ciptaanNya yang sangat indah ini.
     “Diam mukmin itu berfikir, bercakap mukmin itu berzikir” hatiku berbisik senang. Pagi tadi aku sudah berjanji untuk berjumpa dengan Ayesha selepas asar. Ayesha. Rakan yang paling aku sayang. Tali persahabatan kami terikat kukuh keranaNya. Seusai solat asar di masjid, aku terus datang ke sini.
     Dari jauh aku melihat kelibat lembaga yang pantas bergerak ke arahku. Tahulah aku bahawa itu ialah Ayesha. Jubah dan tudung labuh hitam yang dipakainya menyerlahkan lagi kulit hitam manisnya. Pergerakannya pantas tetapi tawaduk. Itulah dia, muslimah acuan Islam. Ayesha memegang satu sampul bewarna biru. Sejujurnya, aku tidak jelas akan pertemuan dengannya kali ini. Mungkin ada hal penting yang mahu dia sampaikan.
     “Assalammualaikum warahmatullah” kami bersalaman dan berpelukan.
     “Wa’alaikumsalam warahmatullah.” Selepas kami meleraikan pelukan, aku memandang wajah bersih Ayesha. Matanya bercahaya. ‘mungkin ada sesuatu yang penting yang mahu dia kabarkan kepadaku’ detik hatiku.
     “Mari, kita duduk dulu.” Aku mengajak Ayesha duduk atas bangku di bawah pohon yang rendang. Angin petang menambahkan lagi ketenangan dalam hatiku. Seusai duduk, Ayesha memberikan sampul yang dipegangnya tadi kepadaku.
     “Apa ini ukhti?” Aku memandang Ayesha. Seperti sampul kad perkahwinan.
     “Bukalah dulu. Lepas tu ukhti tahu la.” Ayesha mengenyitkan matanya kepadaku. Aku tergelak kecil. Sungguh comel gaya sahabatku ini. Aku yakin pasti ada berita gembira. Mungkinkah dia akan menikah? Tidak mustahil juga kerana kami berada di semester akhir di universiti. Aku membuka sampul ini dengan penuh tanda tanya.
‘majlis perkahwinan Muhammad Yusuff al-Qobus bin Naqiuddin dan Sophea Ayesha binti Muhammad’

     Aku terpaku. Lidahku kelu. Adakah aku sedang bermimpi? Ya Allah. Ujian apakah ini? Air mataku hampir menitis. Tapi aku tahan juga. Aku tidak mahu Ayesha tahu bahawa aku mencintai lelaki yang namanya tertera di atas kad perkahwinan ini. Aku tundukkan pandangan. Aku rasa seperti kepala ku dihempap dengan batu yang besar.
     “Sarrah?” Ayesha memegang bahuku. Aku mengangkat muka. Aku yakin, purdah yang aku pakai ini sedikit sebanyak akan melindungi kesedihanku. Ayesha memandangku kehairanan.
     “Kenapa mata ukhti berair? Anti menangis?” Ayesha bertanya.
     “Ya. Sahabatku. Ana terharu. Sahabat ana akan menjadi seorang isteri.” Aku cuba berselindung. ‘menjadi isteri seseorang yang ana cinta’ hatiku berbisik. Aku dapat melihat Ayesha tersenyum manis.
     “Boleh ana tanya sesuatu pada ukhti?” aku bersuara.
     “Ya. Tanyalah.” Ayesha memandangku.
     “Macam mana ukhti boleh kenal dia?” aku bertanya dalam keadaan yang teragak-agak.
     “Ohh. Fasal itu. Begini. Kami mula kenal semasa bulan Ihya Mahabbah Rasulullah 5 bulan lepas. Semasa itu kami sama-sama bekerjasama untuk persiapan bulan tu. Tak sangka pula perasaan istimewa antara kami mula membenih. Kenapa ya ukhti?”
     “Tak ada apa-apa. Maaf ya ukhti. Ana terpaksa pergi sekarang. Ada kerja yang ana perlu selesaikan sebelum masuk waktu maghrib.” Aku meminta diri. Kami bersalaman dan berpelukan. Ayesha memegang tanganku dan mengucapkan terima kasih. Aku mengangguk dan berlalu pergi.
     Tidak ada perkataan lain yang dapat aku sebut selain nama Allah. Allah. Allah. Hatiku sakit. Kali ini, aku tidak dapat menahan lagi air mataku. Bagaikan empangan air yang pecah. Begitu jugalah lajunya air mataku. Kakiku berasa lemah. Aku terus menuju di sebuah pondok berdekatan. Aku yakin. Tempatku sudah jauh dari Ayesha. Hujan rahmat mula membasahi bumi.
     Muhammad Yusuff al-Qobus. Dialah lelaki pertama yang dapat mencuri hatiku. Akhlaknya, hubungannya dengan muslimat, agamanya, semuanya dijaga. Dia merupakan ketua pelajar di sekolah. Dia jualah yang membangkitkan nama Islam dalam kalangan ahli sekolahku kerana kami bukan berasal dari sekolah agama. Aku mencintainya sejak berada di tingkatan 5, sehingga sekarang. Rasa itu tak pernah berkurangan walaupun sedikit. 7 tahun aku memendamkan perasaan suci ini. Dalam setiap doaku, aku memohon kepada Allah supaya pertemukan kami dalam redaNya. Tapi kali ini……. Aku tersepit antara kasih sahabat dan orang yang aku cinta. Apa yang patut aku buat sekarang? Aku mencintai kedua-duanya kerana Allah. Fikiranku buntu.
     ‘Ya Allah yang Maha Mengetahui. Bantulah hamba untuk melupakan dia. Ya Allah. Peganglah hati hamba. Jangan lepaskan hamba ya Allah. Hamba tak kuat tanpaMu ya Allah. Ya Allah. Bantulah hamba untuk melupakan dia. Agar sahabat hamba dapat hidup bahagia dengan insan yang bakal menjadi suaminya. Cukuplah Engkau bagi hamba. Cukuplah Engkau bagi hamba. Cukuplah Engkau bagi hamba. Aminn ya Robb.’
     Al-Quran yang aku bawa, aku peluk erat. Dengan harapan bertambah kuat hatiku untuk menghadapi hakikat ini. Air mata ku tak henti-henti mengalir. Purdah hitam yang ku pakai semakin basah. Aku selak setiap helai muka surat al-Quran. Sehinggalah mataku terpaku pada satu ayat.
     “Apakah kamu sudah kira kamu sudah beriman, sedangkan kamu belum diuji?”
Aku menutup semula naskah al-Quran ini. Cuba ku hadam ayat Allah ini. Tiba-tiba aku teringat kata-kata ummiku. ‘Semakin kuat ujian Allah kepada hambaNya, itu tandanya Allah semakin sayangkan kita. Cinta tak semestinya memiliki’ Aku tersenyum.
     “Cinta tak semestinya memiliki.” Aku sebut perkataan ini tanpa aku sedari. Kali ini hatiku bertambah kuat untuk melupakan Yusuff. Aku pandang ke hadapan. Nampaknya hujan sudah reda. Aku menapakkan langkah untuk pulang ke bilik asrama. Ku alunkan istighfar dalam setiap langkahku. Ya Allah. Sisihkanlah dia dari hatiku. Sisihkanlah.

SEBULAN telah berlalu. Alhamdulillah. Allah izinkan aku untuk melupakan Yusuff. Kalau adapun, aku pasti rasa itu hanya sedikit. Bahagia Ayesha lebih utama bagiku. Aku buka laci meja ku. Mencari kad perkahwinan mereka. Aku buka perlahan-lahan. Kali ini aku tersenyum senang. Malam ini majlis akad nikah mereka. Hmm. Aku mahu belikan sesuatu untuk Ayesha dan Yusuff. Aku memandang jam di dinding. Masih awal. Aku bersiap-siap untuk keluar. Aku ada mengajak Fatimah untuk menemani aku. Dia akan menjemputku pukul 3 petang nanti. Aku mengenakan pakaian serba hitam. Aku ikat kemas purdahku. Harapnya Allah akan menjaga ku di luar sana dari fitnah manusia.
     “Hon! Hon!.” Aku memandang ke luar. Fatimah sudah sampai dengan kereta Myvi miliknya. Kami bersepakat untuk menuju ke kedai buku Pustaka Darussalam. Aku mahu belikan Al-Quran untuk Ayesha dan Yusuff.
     “Sarrah. Ada yang ana nak tanya kepada ukhti.” Fatimah mula berbicara.
     “Hmm? Tanyalah. InsyaAllah ana jawab.” Aku memandang Fatimah. Nada suaranya serius.
     “Begini. Abang ana yang belajar di Mesir tu, sekarang dia tengah bercuti. Ukhti pun tau kan?”
     “Ya. Ana tau. Kenapa ukhti?” aku mengajukan soalan kembali pada Fatimah.
     “Minggu lepas kan ukhti datang ke rumah ana. Abang ana ada beritahu ana yang dia dah tertarik untuk jadikan ukhti sebagai isterinya.” Fatimah menuturkan ayat dengan berhati-hati. Aku terkelu. Aku pernah ternampak abang Fatimah. Semasa itu dia baru pulang dari solat Jumaat. Aku dan Fatimah sedang berbincang tentang usrah di luar rumahnya. Abangnya menuju ke arah kami ketika dia melihat Fatimah. Tetapi selepas dia perasan akan kehadiranku, dia terus masuk ke rumah. Peristiwa itu agak lucu bagiku dan Fatimah.
     “Hmm. Boleh berikan ana masa dulu?”
     “Alhamdulillah. Ukhti istikharahlah dulu. Tak perlu tergesa-gesa. Pernikahan bukan perkara main-main.” Fatimah tersenyum manis kepadaku.
 
SETELAH aku pulang dari majlis akad nikah Ayesha. Ummi terus menghubungiku. Semasa bertanya khabar, suara ummi lain sekali. Seperti ada sesuatu yang gembira dia mahu khabarkan kepadaku.
     “Anak ummi dah sedia nak menikah?” aku tersentap. Takkanlah dia dah pergi berjumpa dengan abi dan ummi?
     “Hmm. Kenapa ummi tanya? Ada orang datng merisik kakak?” aku bertanya. Ummi tergelak kecil.
     “Ya sayang. Abang Fatimah yang belajar di Mesir tu.” Dengan nada gembira ummi memberitahu aku.
     “Jadi apa pandangan ummi dan abi terhadap abang Fatimah?” aku bertanya lagi. Bagiku, pilihan ummi dan abi adalah yang terbaik untukku.
     “Ummi dan abi suka dengannya. Nama dia Luqman. Muhammad Luqman Hakim. Sejuk mata ummi tengok dia. Orangnya pula sopan. Terpikat abi kakak tau? Dia dah semester akhir di Mesir. Tak lama lagi habis la.” Penuh bersemangat dan ceria ummi ceritakan kepadaku tentang abang Fatimah itu. Aku membisu.
     “Ummi dan abi tak paksa kakak. Kakak ambil masa dulu. Istikharah. Ya sayang?”
     “Terima kasih ummi. Ya. Kakak akan istikharah. Doakan yang terbaik untuk kakak ya  ummi. Rindu ummi. Sampaikan salam kakak kepada abi ya ummi? Assalammualaikum.”
     “Jaga diri ya sayang. InsyaAllah ummi sampaikan. Rindu kakak juga. Wa’alaiksalam warahmatullah” aku meletakkan gagang telefon bimbitku. Lama ku renung sambil otakku ligat berfikir. Hmm. Lagi 2 bulan habislah semester akhir aku ini.
    Selama 3 hari ini, malam-malam ku, aku hiasi dengan tahajjud dan istikharah kepada Allah. Memohon petunjuk. Sesungguhnya hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untukku.
    ‘Ya Allah, hanya Engkau yang tahu apa yang terbaik untuk hamba. Ya Allah. Jika Engkau telah takdirkan dia untuk hamba dan hamba untuknya, pertemukanlah kami dalam redaMu’
     Aku harap perkahwinan ini bukan untuk mengubati luka yang pernah berdarah di hatiku. Tetapi aku mengharapkan perkahwinan ini agar menjadi aset aku ke jannahNya. Ya Allah. Tunjukkanlah jalanNya.
    Dengan lafaz bismillah, aku menghubungi abi, wali aku. Aku beritahu abi bahawa aku sedia menerima Muhammad Luqman Hakim sebagai suami ku. Abi sungguh gembira dengan keputusan aku.
     “Alhamdulillah. Syukurlah. Abi sangat suka Luqman tu. Sesuai sangat dengan anak dara abi ni. Abang Atif pun suka dengan bakal adik ipar dia. Hujung minggu ni kakak balik rumah ok? Kita makan sama-sama dengan keluarga dia.” Pesan abi padaku. Aku hanya menuruti apa yang abi pinta. Apa yang ummi dan abi pilih, itulah yang terbaik untukku.

DUA keluarga yang bakal bersatu ini solat maghrib berjemaah di rumah abi. Di rumahku ada disediakan bilik solat. Agak luas. Abi sediakan semua ini kerana keluarga besar abi selalu berkumpul di sini apabila pulang ke kampung. Luqman menjadi imam. Abi yang beri tanggungjawab kepadanya. Kata abi, mahu menguji calon menantunya. Aku tenggelam dalam solat. Suaranya yang merdu menjadikan solat ini lebih sayu.
    Selepas solat maghrib berjemaah semua berkumpul di ruang tamu rumahku. Abi ada bertanya pada Luqman. Tidak mahukah dia melihat wajahku sebelum menjadikan aku isterinya. Luqman menolak. Katanya, biarlah aku menjadi yang halal baginya barulah dia mahu menatap wajahku. Itu adalah satu nikmat baginya. Aku tertunduk malu. Wajah Luqman yang putih bersih mampu menarik perhatian mana-mana bidadari dunia untuk jatuh cinta kepadanya. Sesekali aku mencuri pandang wajahnya itu. Aku tahu dia perasan akan kelakuanku. Cuma dia endahkan.
     Kali ini, Abi telah menetapkan majlis akad nikah dan perkahwinan. Permintaan aku dan Luqman agar majlis ini di buat biasa-biasa saja. Yang penting adalah majlis itu nanti akan dilimpahkan rahmat dari Allah SWT. InsyaAllah. Majlis akad nikah ini akan berlansung lagi dua bulan. Selepas aku habis ‘final exam’. Begitu juga Luqman.

DUA bulan telah berlalu. Malam ini aku dan Luqman akan diijab kabul. Aku mengenakan jubah putih bersih. Tudung labuh dan berpurdah. tidak lupa juga sarung kaki. Aku tak henti-henti berdoa agar majlis ini mendapat rahmat darinya.
     Selepas Isyak, semua berkumpul di Masjid Jamek Pulau Pinang. Luqman duduk membelakangiku. Abi duduk menghadapnya. Ramai rakan-rakan seperjuanganku yang hadir. Ayesha dan Yusuff  juga hadir. Nampaknya sahabatku ini lebih berseri-seri selepas nikah. Ayesha duduk di sebelah kiriku. Ummi pula duduk di sebelah kananku. Ummi pegang erat tanganku. Seperti tidak mahu melepaskan aku kepada muslimin lain.
     “Jadilah isteri yang solehah. Ummi dan abi sentiasa doakan kebahagiaan kakak.” Ummi berbisik kepadaku. Air mataku hampir menitis. Ku pandang wajah tua ummi. Ummi tersenyum manis kepadaku.
     “Aku nikahkan dikau Muhammad Luqman Hakim bin Yasin dengan puteriku, Sarrah Althafunnisa binti Abu Bakar dengan mas kahwinnya RM80 tunai.” Kali ini mataku tertunduk. Lagi beberapa saat aku akan memikul tugas yang berat sebagai seorang isteri.
     “Aku terima nikahnya Sarrah Althafunnisa binti Abu Bakar dengan mas kahwinnya RM80 tunai.” Balas Luqman dengan sekali lafaz. Abi memandang saksi-saksi.
     “Sah, sah, sah.” air mataku nenitis. Syukur ya Allah. Hanya itu yang mampu aku ucapkan.
     “Alhamdulillah. Allahuakhbar. Allahuakhbar. Allahuakhbar.” Aku mendengar semua yang berada dalam masjid ini bertakbir memujiNya. ‘Ya Allah. Berkahilah perkahwinan kami.’ Hatiku berbisik.
     Selepas membacakan doa, Luqman melakukan solat sunat dua rakaat. Seterusnya acara pembatalan air sembahyang. Luqman menghulurkan tangannya sebagai tanda aku melakukan hal yang sama. Dia menggapai cincin dan memegang tanganku. Aku terasa satu kedamaian ketika memegang tangannya. Sangat selesa. Seperti tangan kami sudah lama berkenalan. Luqman menyarungkan cincin di jari manisku. Aku pun melakukan hal yang sama. Setelah bersalaman, kami bergambar di dalam masjid. Dia tidak mengucup dahiku di khalayak ramai kerana baginya hal itu terlalu istimewa. Orang lain tak boleh lihat. Aku tersenyum senang. Dia mengerti aku.
     Semasa jamuan diadakan, Luqman mengajak ku duduk di dalam masjid sebentar. Ada yang mahu dia bicarakan kepadaku. Dia memimpin tanganku ke suatu sudut masjid. Kami duduk menghadap kiblat. Aku memegang erat tangan kanannya. Dia pula memegang erat tangan kiriku. Bagaikan pasangan kekasih yang sudah lama berpisah dan bertemu kembali, seperti itulah eratnya pegangan tangan kami.
     “Terima kasih kerana Sarrah sudi jadi yang halal bagi abang. Abang rasa bertuah sebab dapat memiliki bidadari seperti Sarrah.” Luqman memandang tepat ke mataku. Apabila melihat matanya, aku dapat merasakan kedamaian yang aneh. Sangat menyenangkan jiwa.
     “Terima kasih juga sebab sudi terima Sarrah untuk menjadi yang halal bagi abang.” Aku tersenyum.
      “Biarlah semua bidadari mencemburuimu sayang. Abang tahu apa yang Sarrah lalui selama ni. Fatimah ada cerita pada abang. Isteri abang ni memang kuat ya?” Luqman mencubit hidungku. Walaupun aku memakai purdah, dia tetap melakukan hal itu. Aku tersentap. Fatimah cerita? Fasal Yusuff?
     “Abang. Itu kan cerita lama. Kan sekarang Sarrah dah ada abang. Kita suburkan cinta kita ini selepas nikah, cinta yang halal. Kita bina keluarga yang sakinah, mawaddah, warohmah. Ya?” aku mencubit pipi bersih Luqman. Dia tergelak kecil.
     “Jom sayang. Kita layan tetamu kat luar.” Luqman mengajakku.
     “Abang pergi dulu ya? Sekejap lagi Sarrah ikut.”
     “Aiwah. Jaga diri. Abang sayang Sarrah kerana Allah.” Dia mengucup dahiku. Belum sempat dia melangkah keluar, aku terus memegang tangan kanannya. Aku pegang erat tangan itu. Aku kucup sebagai tanda aku sangat menghargai kehadirannya dalam hidupku. Luqman tersenyum. Dia memegang kepalaku dengan penuh kasih sayang dan berlalu pergi. Aku merasa sangat bahagia.
     ‘Ya Allah. Teguhkanlah cinta kami kerana Mu. Suburkanlah cinta kami di jalanMu. Jadikanlah kami sebagai suami isteri yang saling melangkapi. Kuatkanlah kami yang bakal menempuh cabaran sebagai suami isteri ini. Syukran ya Allah. Kau telah berikan hamba suami yang soleh. Kau berikanlah pula hamba anak-anak yang soleh. Amin ya Robb.’
Aku terus sujud syukur. Semasa aku menoleh ke belakang, aku melihat Ayesha dan Fatimah sedang memandangku. Mereka terus memelukku.
    “Uhibbuki fillah.” Mereka sebut perkataan istimewa ini serentak. Aku memandang wajah bersih mereka berdua. Aku tersenyum.
    “Ana uhibbuk antunna fillah kaman.” Kami genggam tangan bersama. Erat.
    “Jom. Kita layan tetamu yang hadir.” Ajak Ayesha. Aku mengangguk dan keluar bersama-sama Ayesha dan Fatimah.
‘La’ tahzan. Innallah ma’ana. Jangan bersedih jika Allah berikan kita hujan, kerana bila matahari menerpa, pasti kita akan mendapat pelangi yang cukup indah.’ Aku berbisik dalam hatiku. Kini aku merasainya. Syukran ya Allah.

-TAMAT-

Glosari
ana = saya
anti = kamu (perempuan)
ukhti = saudari
ummi= ibu
Abi = ayah
Uhibbuki fillah = mencintai kamu (perempuan) kerena Allah.
ana uhibbuk antunna kaman = saya mencintai kamu (sekalian perempuan) kerena Allah juga.
Aiwah= baiklah
Muslimin= lelaki beragama Islam.

No comments:

Post a Comment