Followers

Monday 3 December 2012

CERPEN: Mashitah

Aku membuka tirai jendela. Pantas cahaya mentari Dhuha menerangi bilikku yang sederhana besar ini. Bunyi burung-burung yang menyanyi di luar jendelaku menceriakan lagi diriku. Pohon-pohon mula melambai indah bagai meraikan kedatangan Dhuha. Aku pantas menyiapkan diri untuk menolong mama di dapur. Dia pasti perlukan bantuan aku walaupun tidak pernah dia minta.
    Dari dalam bilikku aku boleh dengar mama berzikir. Aku kagumi mama. Walau dalam keadaan apa pun lidahnya tidak lali dari memuji-muji Tuhan yang Esa. Pintu bilikku di kuak. Lantas mama menghadiahkan sebuah senyuman manis terhadapku. Hatiku berbunga-bunga kerana pagi-pagi sebegini sudah dijamah dengan senyuman manis mama.
    "Assalammualaikum anak mama. Cantik-cantik ni nak pergi mana?" mamaku berbicara. Aku sudah terbiasa dilayan sebegini. Aku tunduk. Diriku tidaklah secantik kakakku yang sulung. Aku hitam dan mukaku penuh dengan parut jerawat.
    "Wa'alaiksalam ma. Cantik-cantik nak jumpa ma la," aku berceloteh. Berusaha menggembirakan mama seperti mana mama sentiasa cuba menggembirakan aku. Aku dan mama berpelukan. Rasa rindu terlerai. Walaupun baru 8 jam berpisah dengan mama, rasa rindu pasti akan hadir. Aku bersyukur kerana dikurniakan mama dalam hidupku.
    "Usu pergi panggil Along dalam bilik. Ma nak mintak Along bancuhkan air," mama berbicara selepas meleraikan pelukan.
    "Ma, Usu kan ada? Usu boleh bancuhkan," kataku pada mama.
    "Usu kan dah nak SPM. Pergilah studi. Ok?" mama tersenyum sambil membelai kepalaku. Dia sentiasa mahu yang terbaik untukku. Aku mengerti kerisauan mama terhadapku. Lantas aku mengorak langkah ke bilik Along yang ada di tingkat atas.
    "Assalammualaikum. Along, Ma panggil turun," aku menolak sedikit pintu bilik Along. Tak terkunci. Aku menutup hidung. Bau hapak menusuk hidung. Bilik kakakku ini bersepah. Mataku pantas mencari kakakku. Astaghfirullah. Masih tidur. Mungkin kakakku datang bulan agaknya. Aku mendekati kakak.
     "Along. Bangun. Ma panggil turun," aku menggerak-gerakkan kaki Along.
     "Ish! Jangan ganggu aku la bodoh!" kakakku bersuara. Aku tersentap. Walaupun aku sudah terbiasa dengan panggilan sebegitu dari kakak yang aku sayangi ini, telingaku masih menganggap perkataan itu asing dari mulut Along.
     "Emm. Maaf. Usu keluar dulu. Assalammualaikum," aku berjalan keluar dari bilik kakak. Kakiku melangkah menuruni anak tangga sambil otakku ligat memikirkan alasan yang akan ku berikan.
     "Ma. Along penat agaknya. Kesian Along. Biar Usu bancuhkan ya? Lepas tu Usu terus pergi studi," kataku bagi menyenangkan hati insan bernama mama. Mama tersenyum sambil mengangguk tanda setuju. Tangan ku pantas mencapai jar dan bahan-bahan yang lain untuk membacuh teh o panas. Setelah itu aku meminta izin untuk sambung studi.

AKU melangkah perlahan menyusuri blok kelas Tingkatan 5. Seperti biasa. Pasti ada mulut-mulut insan yang mengejek mukaku. Malah ada juga yang mengejek tudung labuhku. Tidak kurang juga yang mengabungkan kedua-duanya bagi menambahkan bengkak di hatiku.
    "Tengoklah tu. Monster pimple dah lalu,"
    "Haha! Wei huduh! Pergi balik la! Aku nak belajar pun tak senang!"
    "Dah la muka penuh jerawat hitam. Muka hitam. Eeeii. Geli aku,"
    "Hai ustazah huduh. Rajin datang sekolah tunjuk muka?"
    "Muka dah tak cantik. Tak payah nak tunjuk cantik dengan tudung labuh. Tak ada yang akan suka,"
    "Sia-sia jalah kalau pakai tudung labuh tapi muka tak come,"
Sejujurnya aku sudah tidak kisah. Manusia ini kita tak akan dapat tutup mulut mereka selagi mereka ada mulut untuk bercakap. Aku tidak kisah dengan tomahan manusia. Matlamat hidupku bukan untuk manusia, tetapi untuk Allah.
    Aku meletakkan beg sekolah yang agak berat ke atas kerusi kayu. Lalu aku duduk dan mengeluarkan nota biologi yang aku sediakan semasa studi semalam. Maklumat yang aku hampir lupa kembali segar dalam ingatan. Fikiranku melayang. Maha Suci Allah. Dia menghadiahkan manusia otak yang kecil. Tetapi boleh menyimpan pelbagai maklumat dengan sebaiknya. Ilmu yang aku dapat ini hanyalah sedikit dari rahsiaNya. Mustahil bagiku untuk tidak menggunakan ilmu yang sedikit ini sebaiknya. Aku yakin, masih terlampau banyak ilmu yang aku belum terokai. Maha Suci Allah.
    "Krrriiiinnggggg!" loceng berbunyi menandakan waktu pembelajaran sudah bermula. Puan Laila, guru Bahasa Melayu masuk ke kelas dengan senyuman yang menyenangkan. Selepas memberi salam, Puan Laila mengeluarkan fail yang mengandungi rekod ujian lisan.
     "Mashitah. Sekarang giliran kamu," Puan Laila memandangku. Aku membalas perbuatannya dengan senyuman. Lalu kakiku mengorak langkah ke hadapan kelas. Ada mata-mata yang nakal sedang perhatikanku. Tetapi aku tidak kisah. Bukan mereka penentu kejayaanku.
     Ujian lisanku bermula. Aku membentangkan tajuk 'Penyebab kemurungan' berdasarkan pengetahuan ilmiahku. Sejujurnya aku tidak menyediakan teks untuk aku membentangkan tajuk ini. Isi-Isi penting aku keluarkan iaitu yang pertama 'Hablu minallah wa Hablu minannas' yang bermaksud jaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan manusia. Isi yang kedua ketahui tujuan hidup kita di dunia supaya kita tidak melakukan perkara yang melalaikan dan seterusnya menyebabkan kemurungan rohani. Hal ini akan memberi kesan kepada fizikal kita. Isi yang ke tiga ialah menlazimi zikir dalam diri supaya hati terasa lapang. Isi yang seterusnya, sentiasa bersyukur atas nikmat yang Allah berikan, dan isi yang terakhir ialah mencari kemanisan dalam setiap ujian yang menimpa.
     Aku huraikan satu persatu dengan lebih mendalam bagi memenuhi masa 10 minit yang diperuntukkan untukku. Pembincangan selalunya bebas. Jadi aku lebih memilih untuk sentuh soal agama kerana kelasku semuanya beragama Islam. Dalam mencari ilmu kita berdakwah. Itu prinsipku.

"MASHITAH!" aku tersentap. Suara garau abah pantas memasuki otakku dan mencengkam kalbuku. Aku terdengar suara abah dari luar. Pantas aku berlari-lari anak ke arah abahku. Aku tetap menghormatinya sebagai seorang ayah.
    "Ya Abah?" aku bertanya.
    "Buatkan aku air. Cepat sikit! Aku penat ni," Abah menengking aku. Hatiku menangis, aku tak pernah merasai kasih seorang ayah sejak aku lahir. Hanya ibu sahaja yang tahu menghiburkanku semasa aku sedih. Sebetulnya aku mewarisi rupa abah. Kulit abah hitam manis, begitu juga diriku. Lain pula dengan Along yang kulitnya lebih cerah daripadaku.
    "Cepatla sikit!" sekali lagi abahku menengking. Sepantas kilat aku menyediakan kopi untuk abah.
    "Hmmm. Pergi masuk bilik," arah abahku. tanpa sebarang kata aku meninggalkan abah di ruang tamu. Aku tidak mahu mengganggunya.
    Aku mengambil tempat semula di meja studiku. Subjek Matematik Tambahan menjadi pilihan pada waktu-waktu petang begini. Aku akan cuba untuk memperuntukkan masa selama 2 jam setiap hari untuk Matematik Tambahan. Bermula dari lepas Asar hingga sebelum maghrib.
   Aku terdengar abah berbual mesra dengan kakakku di ruang tamu. Sejujurnya hati kecilku berasa cemburu. Abah tak pernah melayan aku begitu. Mungkin kerana rupaku tidak secantik Along. Mamaku selalu berpesan. 'Allah menilai kita melalui taqwa kita kepadaNya. Bukan rupa paras kita,' itulah menyejuk kata dari mama. Kerana dahulu aku pernah stres kerana aku tidak sukakan rupaku ini. Mujurlah insan bernama mama ini selalu menasihatiku. Maha suci Allah. Allah Maha Adil. Aku tidak dapat bayangkan jika Allah menilai hambaNya melalui rupa. Jika itu menjadi penilaian Allah. Pasti aku tiada tempat di sisiNya. Maha Suci Allah. Hatiku berbunga-bunga.
     "Usu nak tolong Ma masak untuk berbuka?" tanya ibuku sambil menguak pintuku. Aku tersenyum. Puasa sunat isnin dan khamis sudah menjadi rutin aku dan mama. Batinku tidak mampu berkata tidak kepada insan istimewa ini. Lalu tanganku pantas mengemaskan meja studi. Aku mendapatkan mama yang sedang menyiang ikan. Aku menjeguk ke ruang tamu. Kakak sedang membaca majalah. Tetapi abah tiada.
    "Ma, mana Abah? Keluar eh?" aku bertanya kepada mama. Mahukan kepastian. Mama sekadar senyum dan menggangguk. Jumpa klien agaknya. Aku memahami pekerjaan abah sebagai ketua syarikat. Aku menolong mama memotong sayur. Haruman ikan sweet sour menusuk hidungku.
    "Jika di akhirat makanan yang paling sedap tentunya datang dari Syurga. Tetapi di dunia masakan mama lah yang paling sedap. Bilalah agaknya Usu boleh masak sesedap masakan mama," aku berkata-kata. Inilah di antara hobiku. Menghiburkan mama selagi aku mampu. Mama tertawa kecil. Lalu hidungku dicuit mama.
    "Yalahtu. Anak mama nie pun dah pandai masak. Cuma kena asah lagi bakat tu. Nanti lepas SPM mama ajarkan ok?" Mamaku tidak pernah penat melayan telatahku. aku tersenyum sebagai tanda menghargai mama.
    Jam menunjukkan pukul 7 malam. Lagi beberapa minit akan tiba waktu berbuka. Makanan yang agak ringkas sedia terhidang di atas meja. Sekali lagi aku menjeguk ke ruang tamu. Kakak sudah tertidur di atas sofa. Letih agaknya. Hatiku meneka.
    Telefon bimbit milik mama berbunyi. Seperti biasa, aku akan menjadi seperti pemecut lumba lari untuk mengambil telefon mama dalam bilik dan meberikannya kepada mama. Aku meninggalkan mama di dapur.
   Selepas beberapa ketika aku terdengar esakan kecil mama. Kenapa dengan mama. Hati kecilku tertanya-tanya. Aku mendekati mama.
   "Kenapa Ma?" aku bertanya.
   "Abah kamu. Kemalangan," kata mamaku dalam tangisannya. Aku mengerti. Isteri mana yang sanggup melihat suaminya derita.
   "Innalillah wainnalillahirojiun," aku berkata perlahan. Mama mengambil keputusan untuk terus pergi ke hospital. Aku mengejutkan kakak di ruang tamu. Kakak sangat terkejut dan menangis. Aku mengajaknya untuk bersiap. Dia menuruti kata-kataku tanpa berkata apa-apa. Sebelum pergi aku sempat mengambil beberapa buku roti dan air kotak. Kerana aku tahu azan akan berkumandang tak lama lagi.

Aku memandang wajah abah. Pedih merobek-robek hatiku. Pedih yang tak dapat aku ungkap dengan kata-kata. Mama hanya mendiamkan diri dari tadi. Mama terlalu risaukan abah. Aku mengerti. Kakak pula menangis dari tadi. Aku faham. Kakak amat menyayangi abah dan abah juga begitu.
    Doktor mengatakan abah berada dalam keadaan kritikal. Peratus untuknya terus hidup amat tipis. Hanya kepada Allah aku berserah. Abah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sebuah lori yang besar muatannya merempuh kereta abah. Hatiku sedih. Tapi siapa yang mampu mengubah takdirNya. Aku yakin dan pasti ada hikmah disebalik semua ini.
    "Sa... yaanng," abahku bersuara merujuk kepada mama. Ya Allah, abah sudah sedar. Hatiku melonjak girang. Syukur Alhamdulillah. Mama mendekatkan telinganya ke mulut abah. Tangan mama dan abah terikat erat.
    "Maafkan abang. Sayang jagakan anak kita baik-baik ya? Sayang bidadari abang di dunia dan di akhirat," kata abah dalm nada yang tersekat-sekat. Air mata ibuku megalir. Hatinya betul-betul pilu.
    "Along. Mari sini sayang," kakakku mendekati abah. Seperti mama, kakak mendekatkan telinganya ke mulut abah.
    "Along jaga diri. Jangan mudah percaya dengan janji manis lelaki. Abah taknak Along dikecewakan lagi," pesan abah. Aku terdiri kaku di satu sudut. Tak tahu untuk berbuat apa.
    "Usu," abah memanggil. Sepantas kilat aku mendekati abah. Abah memegang tanganku. Erat.
    "Maafkan abah ya? Abah dah banyak buat salah dengan Usu. Abah tak berikan kasih sayang kepada Usu. Maafkan abah ya nak?" aku menangis. Rintihan abah membuatkan aku sebak. Air mata mengalir membasahi pipiku. Aku mengangguk. Aku tidak pernah marahkan abah terhadap cara layanannya itu. Rasa kasih aku terhadap abah takkan berkurangan. Abah tetap abahku.
    "Abah sayangkan Usu," abah memandangku. Air mataku mengalir lagi. Inilah perkataan pertama dari abah yang paling indah buatku. Aku memeluk abah. Abah membelai kepalaku. Ya, Allah. Baru hari ini aku merasai kasih seorang ayah.
   "Abah sayangkan isteri dan puteri-puteri abah," suara tangisan semakin menghiasi bilik ini. Aku yang duduk paling hampir dengan abah terdengar lafaz 2 kalimah shahadah meniti indah di bibir abah. Suara abah tersekat-sekat. Seolah-oleh menahan sesuatu yang amat memeritkan. Aku tahu. Malaikat maut sedang menjemput abah.
    "Innalillah wainnalillahirojiun," lafaz ini terkeluar juga dari bibir mama. Aku juga mengungkapkan lafaz ini dalam hati. Peritnya hanya Allah yang tahu. Kakak menangis dan lari meninggalkan wad di mana abah ditempatkan. Aku mengerti pemergian abah. Pasti ada hikmahnya. 'Ya Allah. Tempatkanlah abahku di tempat orang-orang yang beriman.' aku berdoa.

SELEPAS mengebumikan abah di tanah perkuburan Islam berdekatan rumah nenek, Along menangis tanpa henti. Aku tidak menyangka. Begitu juga Along. Semasa semua ahli keluarga mencium jenazah, kakak dihalang berbuat sedemikian oleh nenek. Barulah aku tahu. Kakak hanyalah anak angkat dalam keluargaku. Selepas Along tahu perkara itu, bertambah sedihlah along. Dia menangis.
    "Kenapa mama tipu Along?" kakak ku bersuara. Malam sudah mengambil alih tugasnya. Di ruang tamu rumah papan nenek hanya ada mama, aku, Along dan nenek. Mama terdiam. Mencari kekuatan.
    "Dahulu lepas 5 tahun mama dan abah berkahwin, kami masih tak dapat zuriat. Jadi mama dan abah ambil keputusan untuk ambil Along sebagai anak angkat. Mama tak susukan Along. Sebab dahulu ibu kandung Along tinggal dengan mama dan abah. Kerja sebagai pembantu rumah. Ayah kandung Along meninggal lebih awal. Semasa Along berusia setahun, ibu kandung Along pula meninggal. Tapi selepas 3 tahun kami menjaga Along, dengan rezekiNya mama mengandungkan Usu. Semasa itu mama dan abah gembira bukan kepalang kerana akan dapat zuriat sendiri. Tapi kegembiraan abah terhenti di situ sebab anak yang lahir tidak putih. Tetapi hitam. Sejak itu, abah banyak tumpahkan kasih sayangnya buat Along berbanding Usu," mama berhenti berbicaranya. Ada setitis air jernih yang mengalir di pipi mama. Tanpa kata kakak berlalu masuk ke bilik. Aku memegang tangan mama dan mengikuti Along.
    "Along?" aku menguak pintu. Along menekupkan mukanya dengan tangan. Bunyi esakan Along kedengaran.
    "Sabarlah. Pasti ada hikmah kenapa Allah buat macam ni," aku berbicara lembut sambil mengusap lembut belakang Along.
    "Kenapa semua ni mesti Along hadapi?" along mangangkat muka. Dia memandangku. Sayu.
    "Semakin tinggi ujian yang Allah berikan, semakin sayanglah Allah kepada hambaNya itu," aku berbicara.
    "Along patut bersyukur sebab Allah pilih Along. Sebab Allah sayangkan Along," aku tersenyum nipis.
    "Usu pun rasa terisi sebab ada Along. Sekurang-kurannya Usu tak jadi anak tunggal. Tak best la kalau tak ada Along untuk buli Usu," Along tergelak kecil.
   "Usu. Maafkan along sebab selalu layan Usu dengan kasar. Maafkan along, sayang," along memelukku. Aku membalasnya sambil menangis. Indahnya takdir Allah.
   "Usu tak pernah marahkan Along dan tak pernah nak berdendam dengan Along. Usu sayang Along seadanya," esakan Along menghiasa telingaku.
   "Along bersyukur sebab dikurniakan adik yang indah akhlaknya," aku tersenyum nipis.
   "Dulu Usu pernah rasa berputus asa sebab Usu tak secantik Along. Tapi lepas Usu tahu Allah nilai hambaNya melalui taqwa. Usu rasa bersemangat dan berusaha menjadi cantik pada pandangan Allah," aku membalas.
   "Boleh Usu bantu Along dekatkan  diri denganNya? Tak guna juga jika Along asyik jaga rupa tapi tak jaga agama. Sejujurnya kadang-kadang Along rasa cemburu sebab Usu pakai tudung labuh. Tak macam Along ni. Pakaian entah apa-apa," Along menunduk.
   "InsyaAllah. Demi Along, mama dan abah, Usu sanggup buat apa ja selagi ikut syarak," aku memandang Along. Dia menghadiahkan senyuman kepadaku. Lantas Along memelukku. Aku membalas pelukannya.
   "Terima kasih sebab mencintai Along" along berkata.
   "Sama-sama alongku sayang," aku membalas. Pintu bilik dikuak. Aku dan Along meleraikan pelukan. Mama masuk tanpa dipinta. Along berdiri dan memeluk mama. Tangisan bergema lagi. Aku turut merasai kesyahduan ini.
    "Mama jangan tinggalkan Along dan Usu ya?" kakakku berbicara.
   "Takkan selagi nyawa dikandung badan wahai anakku," Balas mama. Maha suci Allah yang mengalirkan sebuah kebahagian selepas kedukaan.

5 Tahun sudah berlalu. Kakakku sudah berkahwin dan mempunyai 2 cahaya mata. Cantik dan comel seperti ibunya.Kakak dan suaminya mengambila alih syarikat abah. Aku pula masih belajar dalam bidang perubatan. Mama pula bahagia menempuh hari-harinya dengan  kasih sayang dari anak-anak dan cucu-cucunya.
    Inilah takdir Allah. Semasa Semester akhir, suami kakaku jodohkan aku dengan seorang muslim. Dia seorang yang soleh. Setelah diijabkabulkan aku tidak menyangka suamiku mempunyai rupa paras yang bagus. Aku merendah diri.
   Pada malam itu selepas solat sunat pengantin aku memandang suamiku.
   "Abang, jika keadaan Mashitah membuatkan abang tidak selesa. Lepaskanlah Mashitah. Mashitah reda," aku berbicara. Suamiku pantas memegang tanganku.
   "Sayang, apa yang sayang cakapkan ini? Jika ditukarkan dengan permata berlian hatta dunia dan seluruh isinya pun abang takkan sanggup tukarkan sayang," suamiku berbicara indah. Hatiku rasa terhibur.
    "Dengan amalan solehah yang sayang lakukan di dunia. Sayang akan menjadi bidadari yang tercantik di Syurga. Pada waktu itu mungkin abang dah tidak layak mendampingi sayang," dia menunduk.
    "Jika abang harapkan rupa dari sayang, bermakna abang akan rugi kerana kita akan tua. Akan sama-sama berkedut. Kulit ini hanya membalut isi dan tulang kita sahaja. Abang mencintai sayang kerana agama dan akhlak yang ada pada sayang. Rupa tidak penting sama sekali," sambung suamiku yang tercinta ini. Air mata gembira mengalir.
   "Sama-samalah kita berusaha untuk memasuki jannahNya," aku berkata. Suamiku tersenyum dan membelai kepalaku dan berdoa doa malam pertama. Aku rasa tenang dengan layanannya terhadapku.
    Maha Suci Allah yang menilai hamba-hambaNya dari taqwa, bukannya rupa. Aku bukanlah sebaik Mashitah isteri Firaun laknatlullah.. Tetapi aku akan berusaha menjadi hambaNya yang selalu taat. 'Setiap langkaku, denyut jantungku, hanya untukMu ya Allah,' aku berbicara syahdu.
 




1 comment:

  1. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete